Shuib, Siti Sarah langgar SOP, kena kompaun RM1,000 gara-gara duduk lebih dua orang semeja di restoran

FOTO: Sinar Harian

PASANGAN selebriti, Shuib dan isterinya, Siti Sarah Raissuddin masing-masing dikenakan RM1,000 seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah premis restoran pada Jumaat

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pasangan yang juga usahawan itu dikenakan kompaun kerana didapati duduk di sebuah meja melebihi dua orang serta tiada penjarakan fizikal di premis terbabit.

Menurutnya, dua lagi pelanggan yang turut duduk semeja bersama pasangan itu turut dikenakan kompaun.

“Turut dikenakan tindakan ketika rondaan pasukan Task Force Op Covid-19 Balai Polis Kuala Lipis kira-kira jam 9 malam itu ialah pemilik restoran terbabit.

“Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Sebelum itu, seorang individu memuat naik gambarnya bersama pasangan selebriti menjamu selera di dalam premis terbabit tersebut di laman sosial Facebook miliknya.

Untuk rekod, kerajaan menetapkan hanya dua individu semeja ketika menjamu selera di kedai makan dan restoran bermula 10 Februari.

Sumber: sinar harian