Dayang Nurfaizah tunjuk taring, lonjak album Belagu ke kedudukan nombor satu dalam masa dua jam

PENYANYI popular Dayang Nurfaizah meluahkan rasa syukur apabila album klasik terbaharu berjudul Belagu berjaya menduduki di tangga nombor satu carta Itunes Apple Store hanya dalam tempoh dua jam ia diedarkan hari ini.

Album Belagu yang menghimpunkan khazanah lagu terbaik tempatan dan nusantara yang diberikan nafas baru oleh Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty mula diedarkan hari ini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Separuh Mati Ku Bercinta juga berkata dia terharu dengan sambutan luar biasa diberikan pendengar dan peminat muzik tempatan.

Perkongsian Dayang di Instagram.

“Dayang diberitahu pengurus, Sharina Ahmad, Belagu mula diedarkan di seluruh penstriminan muzik tepat jam 12 malam tadi dan dua jam selepas itu ia berada di tangga nombor satu di carta album paling laris jualan di Itunes Apple Store.”

“Alhamdulillah! terasa segala perancangan bertahun-tahun dan kerja keras dicurahkan untuk menghasilkan album ini sangat berbaloi. Ternyata apa yang saya mahu kongsikan dengan peminat muzik tempatan diterima baik,” kata Dayang kepada The News Malaysia.

Jelas Dayang lagi, sambutan hangat diberikan peminat terhadap album Belagu juga menjadi petanda positif bahawa industri muzik tempatan masih mampu berkembang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Dayang, 40, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak yang banyak membantu dalam merealisasikan impian menghasilkan Belagu terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album Belagu.

Album Belagu menghimpunkan lagu klasik antaranya Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu, Tari Tualang Tiga.

Penyanyi dan komposer muda, Hael Hussaini turut membuat kemunculan istimewa dengan mendendangkan lagu Gurindam Jiwa secara duet dengan Dayang.

Album Belagu berupa projek khas Dayang yang mana kerja-kerja rakaman dilakukan secara langsung dengan studio khas dibina dalam sebuah gudang, bagi membolehkan segala logistik dan kerja rakaman berlangsung dengan sempurna dalam tempoh dua hari. 

Bagaimanapun persediaan awal dalam merancang rakaman dapat dilakukan dengan sempurna telah berlangsung sepanjang tahun lalu.