KETIKA tarikh nikahnya dengan wanita bergelar tunangan, Watie Hanifiah telah ditetapkan pada 23 Jun ini, Shuib terus-menerus menjadi sasaran netizen. Dia diselar terlampau cepat ‘move on’ selepas kematian isteri tercinta pada Ogos 2021.
Pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap pelawak juga penyampai radio popular itu. Bakal isterinya tidak terkecuali menjadi bahan kritikan, apabila dibandingkan dengan perwatakan Allahyarham Siti Sarah.
Biar hasrat mengikat perkahwinan dikatakan demi empat anak yatim yang perlukan kasih ibu, niat murni terus diperlekehkan.
Shuib yang sebelum ini pernah menyifatkan Watie mengingatkan dirinya kepada Siti Sarah sangat penyayang terutama dalam soal penjagaan anak-anak.
Pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad, 39, meminta orang ramai sedar realiti bahawa Watie adalah pilihan hatinya yang juga merupakan ibu ‘baharu’ kepada anak-anaknya yang sedang membesar.
“Sarah memang sudah berada di tempat paling istimewa bagi saya dan Watie juga sedia maklum perkara tersebut.
“Apa salah Watie? Dia ada dengan saya, anak-anak dan keluarga. Kadang-kadang perbandingan boleh menyakitkan orang.
“Perbandingan antara Watie dan Sarah tidak sepatutnya berlaku dan semua kena terima realitinya,” katanya kepada Pose usai majlis rumah terbuka FYP Media dan Indigital Music baru-baru ini.
Menghampiri detik perkahwinan, Shuib juga bertegas Watie dipilih sebagai suri hati kerana bukan dalam kalangan selebriti.
Tujuannya juga adalah mahu Watie atau nama lengkapnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, memberikan sepenuh tumpuan buat keluarganya.
“Saya mahu dia fokus kepada keluarga dan anak-anak kerana itu memang motif utama.
“Disebabkan itu juga saya tidak berkawan rapat dengan selebriti sebelum ini kerana saya tahu sibuknya menjadi artis.
“Komitmen kerja sebagai artis yang menyebabkan saya rasa tidak perlu ambil risiko begitu,” ujarnya dalam Kosmo!
Persediaan
Ditanya sama ada usahawanita itu bersedia berdepan tempias sensasi setelah berumah tangga dengan selebriti, begini jawab Shui: “Saya rasa dia sudah bersedia awal. Saya maklumkan tentang realiti berkawan dengan artis.
“Pengurusan juga banyak membantu memaklumkan bagaimana untuk berhadapan situasi tidak pernah dilalui olehnya.
“Lagi pun semuanya proses. Pengalaman mendewasakan dan saya juga tidak boleh cakap sama dia sudah bersedia betul-betul atau tidak,” jelasnya.
Biarpun menjadi perkahwinan kedua buat Shuib, dia mengambil pendekatan untuk meraikan ahli keluarga baharu dengan mengadakan acara pertunangan yang berlangsung pada 6 Mei lalu.
“Ini memang perancangan saya kerana ingin menghargai semua orang yang datang dalam hidup.
“Lebih-lebih lagi kalau rasa dia perlu dihargai, mengapa tidak untuk saya buat sesuatu yang menggembirakan hatinya,” tutup Shuib.
Sumber gambar & Sumber laporan – Kosmo!