Lima Pendatang Tanpa Izin Rempuh Pegawai Imigresen

Gambar | JIM Melaka

REMPUH pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan sanggup gadai nyawa dengan berlari ke jalan raya sibuk.

Itu tindakan lima lelaki pendatang tanpa izin (PATI) warga India dan Pakistan demi meloloskan diri daripada ditahan pegawai JIM Melaka semalam, lapor Harian Metro.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu sia-sia apabila mereka dicekup anggota JIM yang siap mengepung kawasan serbuan.

“Ketika serbuan dilakukan sekumpulan PATI bertindak agresif dengan merempuh pegawai operasi untuk meloloskan diri.

“Akibatnya kamera milik seorang pegawai JIM turut terjatuh, namun kejadian tidak menyebabkan kecederaan.

“PATI terbabit juga sanggup membahayakan diri berlari menuju ke jalan raya yang sibuk, namun semua mereka berjaya ditahan dan dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah serta permit bekerja,” katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan 20 anggota JIM bermula 11 pagi hingga 1.30 tengah hari di beberapa tempat di Bandaraya Melaka yang disyaki menjadi ‘sarang’ PATI.

“Keseluruhannya 72 orang warga asing diperiksa dan kita menahan 26 PATI iaitu masing-masing lima warganegara India dan Indonesia, Myanmar (13), Bangladesh (2) dan Pakistan (1),” katanya memaklumkan operasi dibuat susulan aduan awam mengenai kebanjiran PATI di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut Anirwan Fauzee berkata, antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tamat tempoh dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Tiga borang Saman Saksi turut dikeluarkan kepada wakil majikan untuk membantu siasatan dan kita akan mengesan majikan yang didapati menggaji PATI untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Sumber : Harian Metro