Terkena buatan orang, ada yang mahu Aliff Aziz jadi gila – Bella Astilah

Pelakon dan penyanyi, Bella Astilah menjelaskan dia bersama keluarganya kini dalam usaha untuk membantu bekas suaminya yang juga penyanyi, Aliff Aziz.

Tambahnya melalui bantuan seorang pakar perubatan keluarga bekas mertuanya memberitahu, ada unsur mistik yang menyebabkan Aliff kini berada dalam keadaan tidak menentu.

Malah lebih mengejutkan dirinya apabila dia juga difahamkan niat perbuatan itu menjurus untuk membuatkan Aliff menjadi gila.

“Saya sendiri susah untuk bercakap soal ini sebab saya tidak sentiasa bersamanya. Tetapi melalui perbincangan dengan keluarganya memang itu yang diberitahu kepada saya. Setakat ini keluarga Aliff memang sudah melakukan pelbagai usaha dalam menyembuhkan Aliff.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu tolong, sebab bila masuk unsur yang kita tidak nampak ini memang sukar untuk saya. Tetapi itulah untuk tidak mengiyakan atau menidakkan perkara ini juga tidak boleh sebab ada kemungkinan,”jelasnya.

Sementara itu kata Bella melalui pemerhatiannya juga Aliff kini berada dalam satu fasa yang sukar dalam hidupnya. Namun apa yang membingungkan dirinya perubahan dalam diri bekas suaminya itu akan berlaku tidak tentu masa.

“Apa yang membuatkan saya risau apabila ada suatu masa keadaan dirinya terkawal untuk satu tempoh yang lama. Maknanya dia tidak keluar rumah pergi mana juga berteman. Tetapi sekelip mata dia mampu menjadi orang lain.

“Memandangkan dia kini tidak boleh keluar dari Singapura memang saya sahaja yang akan membawa anak kami berjumpa dengannya. Jadi kalau ada kesempatan memang saya akan berbincang dengan keluarganya mengenai Aliff.

“Cula buat masa ini masih belum tahu solusi yang sesuai untuk Aliff, mungkin hantar ke hospital atau berubat dengan ustaz dahulu,”katanya.