Jangan hanya hukum, ambil pendekatan holistik berhubung pemandu mabuk, kata peguam

Polis menjalankan ujian pernafasan ke atas pemandu bagi mengukur kandungan alkohol berikutan peningkatan jumlah kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan harus mengubah pendekatan dalam menangani masalah memandu di bawah pengaruh alkohol, kata seorang peguam.

Baljit Sidhu berkata, tujuan undang-undang keseksaan bukan untuk menghukum pesalah semata-mata, tetapi juga mendidik dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang awam.

“Kerajaan harus melakukan perubahan paradigma, terutama agensi penguatkuasaan, dalam menangani masalah pemandu mabuk dan tidak hanya menggunakan hukuman keras,” 

Baljit memberi respons kepada kenyataan pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias bahawa polis akan mengadakan perbincangan bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan mereka.

Azisman berkata, polis akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam masa terdekat.

“Perbincangan dari sudut perundangan akan dibuat dan saya percaya masyarakat juga mengalu-alukan perkara ini,” katanya ketika mengulas peningkatan kes kemalangan maut membabitkan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Di bawah undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan.

Polis dan JPJ diberi kuasa untuk menguatkuasakan akta terbabit.

Bekas menteri Kabinet Hishammuddin Hussein berkata, Putrajaya tidak harus memandang ringan masalah tersebut kerana jumlah kemalangan semakin bertambah dan pesalah seolah-olah tidak menunjukkan tanda penyesalan.

 

Baljit, yang juga merupakan pensyarah undang-undang jenayah, mencadangkan supaya pihak berkuasa turut melibatkan pengusaha hotel, bar dan restoran dalam usaha menyekat kemalangan jalan raya akibat mabuk, terutama pada lewat malam.

“Perlu ada undang-undang bagi memastikan bir dan alkohol tidak dijual kepada pelanggan yang sudah terlalu mabuk,” katanya.

Baljit berkata, memandu dalam keadaan mabuk yang mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda hendaklah disekat sebelum ia menjadi lebih buruk.

Dalam pada itu, peguam A Srimurugan berkata, hukuman sedia ada yang berkuat kuasa sejak 20 tahun lepas sudah tinggi dan tidak perlu dipinda.

“Hukuman penjara dan denda tidak berguna melainkan agensi penguatkuasaan benar-benar menjalankan tugas mereka,” katanya.

Srimurugan berkata, kerajaan perlu menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi mengkaji punca insiden memandu dalam keadaan mabuk dan keganasan jalan raya berikutan peningkatan jumlah kenderaan dan pemandu muda.

“Jawatankuasa tersebut harus mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentigan bagi memastikan pemanduan di jalan raya Malaysia adalah selamat dan menyenangkan,” katanya.

Srimurugan juga menggesa polis supaya menghentikan amalan memberi diskaun 50% ke atas saman trafik dengan tujuan mengutip lebih banyak hasil bagi pihak kerajaan kerana ia memberi “isyarat salah” kepada pemandu degil.