KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diperintahkan melucutkan hak berlian yang dibeli untuk ibunya. Berlian itu direka oleh pembuat barang kemas terkenal yang juga menghasilkan perhiasan untuk selebriti seperti Beyonce dan Adele.
Hakim Mahkamah Persekutuan di Los Angeles memerintahkan Jho Low menyerahkan cincin berlian 7.35 karat serta subang berlian lebih tiga karat. Barang kemas itu dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng. Cincin bernilai AS$1.17 juta (RM5.47 juta) dan subang bernilai AS$628,000 (RM2.9 juta).
Mahkamah Amerika Syarikat menyatakan bahawa berlian itu direka oleh Lorraine Schwartz, yang juga membuat rantai leher bertatahkan berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM107 juta) untuk Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Hakim Daerah AS, Dale Fischer, menyifatkan berlian itu sebagai ‘hasil jenayah’ daripada penipuan 1MDB.
Pada Jun lalu, Jho Low bersetuju dengan Jabatan Kehakiman AS untuk mengembalikan aset lebih AS$100 juta (RM471 juta) yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB. Beliau juga dituduh bersama bekas pegawai perbankan Goldman Sachs yang disabitkan pada perbicaraan di New York pada 2022.
Sementara itu, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo, diarahkan melucutkan hak lukisan pensel Pablo Picasso bernilai AS$1.4 juta (RM6.5 juta). Jasmine juga bersetuju untuk menyerahkan AS$25,000 (RM117,000) dalam akaun bank Swissnya.