Home Berita Semasa Semangat hijrah diperlukan dalam memacu cita-cita Malaysia Madani – PM

Semangat hijrah diperlukan dalam memacu cita-cita Malaysia Madani – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semangat hijrah adalah berorientasikan gerakan dinamik dan mahukan perubahan untuk mencapai al-Falah (kemenangan) yang memacu cita-cita Malaysia Madani. 

Beliau berkata demikian ketika meraikan meraikan dua Tokoh Maal Hijrah 1446H dalam Majlis Ilmu Madani di Seri Perdana, Putrajaya pada Rabu. 

Dua tokoh berkenaan merupakan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Profesor Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi dan Mantan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad. 

“Hijrah memerlukan persiapan kental serta ampuh, dan melalui persediaan yang kukuh ia boleh terpancar melalui pembaharuan yang membekas buat umat. 

“Datuk Seri Hassan Ahmad dalam tausiahnya memberi peringatan Al-Quran dan Hadis dalam mencapai al-Falah (kemenangan) yang memacu cita-cita Malaysia Madani.

“Syeikh Profesor Dr Ali pula telah mengambil ibrah konsep negara Madani melalui tauladan Rasulullah SAW yang memimpin Madinah,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut menyatakan ia kerana hubungan pemerintah khususnya Rasulullah SAW dengan rakyat amat diambil berat terutama kedaulatan rakyat dan peranan pemerintah yang punya tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan kedua-dua tokoh tersebut diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menyumbang ilmu dan pembangunan dakwah dalam negara. 

“Semoga butiran hikmah yang dikongsikan oleh kedua ulama ini dapat dimanfaatkan oleh kita semua,” ujarnya. 

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Mantan Ketua Mahkamah Perlembagaan Republik Indonesia dan wakil pertubuhan pelajar antarabangsa serta dakwah dari Indonesia, Thailand, Kemboja dan Sweden, Profesor Dr Jimly Asshiddiqie.