“Saya Tidak Akan Tunduk Untuk Letak Jawatan”- Hans Isaac

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berkata tidak akan tunduk dengan desakan enam persatuan penggiat seni yang mahu lihat jawatan beliau di letak serta-merta.

Malah, Hans berkata bahawa beliau akan menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti biasa, dan turut menyuarakan hanya menteri sahaja yang boleh memecat jawatan yang telah di beri.

“Tidak. Saya tidak akan tunduk pada desakan tersebut. Pelantikan jawatan pengerusi dibuat oleh menteri, Gobind Singh Deo. Beliau sahaja yang boleh memecat saya dari jawatan yang saya pegang,” jelasnya.

“Saya akan terus fokus dengan kerja bersama kakitangan lain, pengurusan FINAS dan ahli lembaga pengarah demi kemajuan industri.

“Sebagai pengerusi, saya akan bertugas tertakluk di bawah Akta FINAS 1981 (Akta 244) seperti ditetapkan,” katanya lagi.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi FINAS, Affendy Ali Dally, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal, Subaidah Md Top dan ahli lembaga pengarah FINAS, Onn Norshall Hamzah.

Pada 10 Disember lalu, enam persatuan seni menggesa supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Hans serta ahli lembaga pengarah yang lain meletakkan jawatan ekoran didakwa gagal membawa pembaharuan dikehendaki dalam badan tersebut.

Mereka adalah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC).

Mengulas lebih lanjut dakwaan terhadap Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor yang berkata ada pihak yang menjalankan tugas dengan skala kurang memuaskan.

Sementara itu, Hans turut berkata bahawa beliau amat menghormati hak kebebasan bersuara, namun, sebarang tuduhan dilemparkan perlu disertai bukti kukuh.

“Apa yang boleh saya katakan, segala tuduhan dilemparkan seperti saya cuba mempengaruhi menteri dalam membuat keputusan dan membuat kerja melangkaui bidang kuasa, adalah tidak benar. Saya juga tidak boleh ikut suka hati saya bertindak melulu sebab saya tidak ada kuasa utama terhadap FINAS.

“Saya cuma melaksanakan tugas mengikut ketetapan ahli lembaga pengarah. Sekarang ini saya hanya ada dua jawatan kuasa sahaja iaitu Festival Filem Malaysia (FFM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)/Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diusulkan saya sejak mula menyertai FINAS.

“Itu pun selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Idham Ahmad Nadzri meminta saya mengambil alih tugas itu berikutan beliau tidak begitu arif dalam soal KWSP, PERKESO dan penganjuran acara.

“Kalau nak buat tuduhan, biarlah ada bukti. Jika ia menjurus kepada fitnah sekali gus mencalarkan reputasi, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Hans turut terbuka hati mengalukan bagi mana-mana pihak yang ingin bersemuka dengannya oleh kerana sikap yang tidak puas hati. Tambah beliau, sesuatu masalah tidak akan selesai jika mereka hanya bersuara di laman media sosial.

“Kami dekat sini untuk membantu meningkatkan lagi industri. Ada banyak lagi perkara yang saya perlu tumpukan sepenuhnya. Mereka semua ada nombor saya. Datang dan bincang dengan saya jika ada masalah,” katanya.