Shuib Sepahtu Pemilik Air Boba Madu Pertama Di Dunia

Pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu melakar sejarah apabila menjadi pengusaha pertama di dunia yang memperkenalkan minuman boba berasaskan madu.

Berkongsi kejayaan ini dengan The News Malaysia semalam, kata Shuib dengan pembukaan Bubble Bee ini dia yakin untuk memasarkan air minumannya ini kepasaran antarabangsa kelak.

“Saya adalah peminat air boba, malah saya dan isteri naik berat badan akibat terlalu obses dengan air ini. Jadi idea timbul untuk mengantikan gula melaka yang digunakan dengan madu yang sekali gus lebih baik untuk kesihatan.

“Melihat potensi Bubble Bee kami tidak teragak- agak untuk membawa air ini kelak ke pasaran Taiwan pula. Sebab kita tahu air boba ini kebanyakkannya berasal dari Taiwan jadi sudah sampai masanya kita bawa air boba kita pula ke sana.

“Selain Taiwan saya juga sudah mempunyai perancangan untuk memperkenalkan Bubble Bee di beberapa negara jiran. Namun sebelum itu saya akan usahakan pembukaan beberapa cawangan di seluruh negara,” katanya panjang lebar.

Sementara itu ditanya mengenai persepsi pihak luar mengenai madu itu sendiri yang dianggap mahal. Kata Shuib sebagai pengusaha madu dia tidak melihat ada kos berbeza yang perlu dirisaukan.

“Kami menawarkan harga mampu milik sebab semua bahan ini datang dari sumber yang saya usahakan. Air boba paling mahal juga berharga kurang RM 15, itu pun sebab menggunakan air soya yang di import,”katanya.