Khabarnya arkitek ini kekasih Mira Filzah?

Nampaknya bukan rahsia lagi ketika ini apabila Mira Filzah sendiri mengakui sedang mengenali seseorang.

Malah lebih tepat kini pelakon cantik ini sedang bahagia dengan cinta seorang jejaka. Hadir ke majlis resepsi Fara Nabilah semalam, khabarnya Mira ditemani teman yang dimaksudnya itu.

Tidak mengambil masa yang lama untuk mengetahui siapa lelaki bertuah itu, ketika warganet sendiri sudah berkongsi gambar calon bakal suami Mira ini.

Dikenali sebagai Wan Emir Astar, difahamkan Wan Emir merupakan kenalan lama Mira ketika belajar.

Merupakan seorang arkitek yang memiliki firma seni bina sendiri, Wan Emir yang juga anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, YB Datin Mastura Mohd Yazid turut bergelar seorang ahli perniagaan.

Jika benar ini adalah pilihan Mira, tidak dinafikan keduanya nampak cukup sepadan. Sementara itu sama ada benar Mira akan bertunang tahun ini nampaknya tiada kata putus daripada pelakon ini memandangkan dia lebih senang jika buat masa ini kariernya diberi perhatian dahulu.