“Menyamar sebagai pelanggan perkhidmatan teksi motosikal” – Anthony Loke

Kredit - Bernama

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke menggunakan kaedah penyamaran dengan melanggan perkhidmatan teksi motosikal bagi memastikan peraturan dan ciri keselamatan dipatuhi, hari ini.

Beliau berkata, beliau akan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa memastikan pemantauan berjalan lancar.

“Apabila Kabinet membuat keputusan membenarkan perkhidmatan ini beroperasi, kita sebagai kementerian pelaksana akur tetapi pada masa sama kita mahu pastikan isu keselamatan ini dipatuhi.

“Sebab itu, saya mengambil pendekatan turun sendiri buat ‘spot check’ hari ini tanpa memaklumkan kepada syarikat pengendali.

“Saya akan buat dengan mana-mana syarikat pengendali dari semasa ke semasa, malah saya akan minta APAD dan arahkan pegawai kita mengintip serta menyamar untuk melihat sama ada mereka mematuhi peraturan,” katanya dipetik Harian Metro.

Turut difahamkan, Anthony menunggu ketibaan penunggang itu kira-kira 15 minit sebelum menaiki perkhidmatan itu sejauh dua kilometer dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Tambah beliau, kementerian tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan terhadap mana-mana pengendali mahupun penunggang perkhidmatan teksi motosikal yang gagal mematuhi peraturan.

“Berdasarkan pengalaman saya, mereka patuhi peraturan dengan menunggang dalam kelajuan sederhana, mematuhi lampu isyarat dan menyediakan topi keledar untuk penumpang.

“Itu satu petanda baik, saya harap ia dikekalkan untuk memastikan pengguna selamat menggunakan perkhidmatan ini.

“Pesanan saya kepada semua pengendali dan penunggang teksi motosikal yang dibenarkan beroperasi secara sah berikan perhatian kepada ciri keselamatan, sediakan topi keledar penumpang dan mesti mematuhi peraturan, malah saya ingatkan kita akan pantau dari semasa ke semasa termasuk audit data mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Pada 1 Januari lalu perkhidmatan teksi motosikal pertama negara, Dego Ride dibenarkan beroperasi kembali sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan Putrajaya selepas ditamatkan operasinya pada 2017 berikutan faktor keselamatan.