‘Ceria Megastar’ Musim Ke-2 Kembali Dengan Persaingan Luar Biasa!

Astro dengan berbesar hati membawakan kembali ‘Ceria Megastar’, sebuah program realiti aneka bakat yang menampilkan para peserta cilik berumur 18 tahun dan kebawah, bermula Mac ini! Merupakan edisi kedua selepas kejayaan musim pertamanya pada tahun 2018, ‘Ceria Megastar’ kali ini tampil berbeza apabila menggandingkan peserta baru yang hadir dari pelbagai latar belakang, yang mana ada di antara mereka mempunyai pengalaman menyertai pertandingan bakat di peringkat antarabangsa, bersama barisan peserta yang pernah menyertai program anjuran saluran Astro Ceria seperti ‘Ceria Pop Star’, ‘i-Star’, ‘All Star’ dan ‘Ministar’.

 

Seramai 20 peserta akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat masing-masing seterusnya merebut gelaran terulung, ‘Megastar’ dan membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai! Juara ‘Ceria Megastar’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM25 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan memenangi RM15 ribu dan RM10 ribu beserta trofi.

‘Ceria Megastar’ ini bakal bersiaran secara langsung selama 8 minggu berturut-turut, mulai Sabtu, 29 Februari 2020, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

KENYATAAN RASMI PENGURUS SALURAN ASTRO CERIA, CECILIA WONG

 Ianya digandingkan bersama nama-nama hebat yang pernah turut terlibat di pentas-pentas persembahan berskala besar di peringkat antarabangsa.

 Kehadiran kesemua 20 peserta yang terdiri dari bakat-bakat penuh variasi ini turut diraikan oleh barisan tenaga pengajar yang cukup berpengalaman di bidang masing-masing dan diadili mereka yang bukan di kalangan calang-calang orangnya. Mewakili pihak produksi, kami mengalu-alukan kedatangan Datuk Syafinaz Selamat, Zizan Razak, Ernie Zakri, Chubb-E dan Alam Wakaka ke dalam keluarga besar ‘Ceria Megastar’. Kami yakin, kehadiran mereka ini akan membantu bakat-bakat muda kita mempersiapkan diri untuk menempatkan nama di persada seni dalam dan luar negara.

 Uniknya lagi apabila buat julung kalinya, kami menggabungkan dua nama hebat yang cukup versatil dengan kekuatan karakter masing-masing sebagai pengemudi utama musim ini. Nabil Ahmad dan Raja Azura atau lebih dikenali dengan nama Kak Engku akan bergilir-gilir mengendalikan pentas mingguan ‘Ceria Megastar’, dan kami merasakan pendekatan seumpama ini amat segar dan menambah ‘warna’ serta ‘rencah’ kepada keseluruhan perjalanan program.”

 

NOTA RINGKAS ‘CERIA MEGASTAR’

 

  1. Bagi memeriahkan lagi penganjuran ‘Ceria Megastar’, vokalis hebat, Ernie Zakri, serta pelakon dan pelawak popular tanah air, Zizan Razak, telah diberi mandat sebagai Juri Tetap. Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas pada setiap minggu bagi menyertai juri tetap untuk mengadili persembahan para peserta.
  2. Penyanyi dan guru vokal disegani ramai, Datuk Syafinaz Selamat, penari dan koreografer handal, Alam Wakaka serta juara ‘Ceria Megastar 2018’ Chubb-E pula menyarungkan jersi Penasihat Persembahan bagi membantu menyiap-sediakan para peserta sebelum mereka bertanding di pentas utama.
  3. Menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik bagi musim kedua ini adalah komposer terkenal, Dato’ Acis. Beliau telahpun terlibat dalam penerbitan ‘Ceria Megastar’ sejak tahun 2018 lagi dan juga merupakan Pengarah Muzik bagi program ‘Ceria Megastar Ministar’ tahun lalu.
  4. Video eksklusif ‘Ceria Megastar 2020’ yang mengikuti para peserta ketika membuat latihan serta klip-klip menarik di sebalik tabir menjelang konsert mingguan boleh distrim melalui Astro GO dan on demand, setiap hari Jumaat hingga Ahad, jam 8.00 malam.
  5. Lagu tema ‘Ceria Megastar’ musim ini dipersembahkan oleh mantan peserta ‘Ceria Megastar 2018’, Chubb-E dan Vanessa Reynauld. Lagu yang diterbitkan FFK Music itu ditulis oleh Faris Fuad yang turut bertindak sebagai komposer bersama Hafriz Dzamri.
  6. Ingin membawakan kelainan, musim kedua program ini bukan sahaja menampilkan penyertaan bakat solo dan duo, namun terdapat juga penyertaan bakat berkumpulan. Kepelbagaian peserta yang hadir dalam ‘Ceria Megastar’ tidak terhad pada bakat nyanyian semata-mata – terdapat juga bakat lakonan, tarian, silap mata, lompat tali dan dram solo!
  7. Di episod pertama dan kedua ‘Ceria Megastar’ tahun ini, kesemua 20 peserta akan berentap bagi menempah tempat di pentas utama (dibahagikan kepada 10 peserta untuk setiap episod). Hanya 10 peserta terbaik akan dipilih berdasarkan markah paling tinggi yang diadili 100 peratus oleh pihak juri. Pengumuman nama 10 peserta yang bakal ke peringkat seterusnya akan dibuat pada segmen terakhir episod kedua.

 *Rujuk lampiran untuk profil lengkap peserta ‘Ceria Megastar’ musim kedua.

 FORMAT PENJURIAN

 Format penjurian adalah terbahagi kepada dua, di mana nasib para peserta akan diadili berdasarkan pemarkahan oleh barisan Juri Tetap dan undian peminat secara dalam talian.

 

60 peratus keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para peserta berdasarkan pecahan markah sebanyak 20 peratus untuk elemen persembahan, 20 peratus untuk elemen kreativiti, 10 peratus bagi faktor ‘Wow’ dan 10 peratus lagi dari aspek penampilan.

 

Setiap minggu, pihak Juri juga akan menganugerahkan ‘Gold Star’ kepada peserta pilihan mereka. Pemenang ini akan diberi hadiah misteri yang di antaranya termasuklah ‘hak imuniti’. Di samping itu, lebihan 40 peratus pula ditentukan oleh undian peminat secara dalam talian menerusi laman rasmi www.astroceria.com.my/megastar. Laman web rasmi ini hanya akan dilancarkan mulai Sabtu, 29 Februari 2020 pada konsert minggu pertama