Dedah sebab putus cinta, Konsert Awie Romantika cukup membuai emosi penonton

Percintaan artis 90-an yang paling mendapat perhatian tentunya tentang kisah Datuk Awie dan Erra Fazira. Malah sehingga kini juga nama dua figura ini tidak akan dilupakan peminat memandangkan keserasian yang wujud antara mereka cukup kuat sehingga tidak mampu luput dalam ingatan peminat.

Kembali “bercinta” di atas pentas 15 Februari lalu sempena Konsert Awie Romantika di Stadium Malawati, Shah Alam ternyata apa yang ingin ditonton diberikan oleh Awie dan Erra tanpa berselindung.

Diselitkan dengan kisah cinta yang mungkin selama ini menjadi rahsia antara mereka ternyata persembahan selama dua jam itu cukup menghiburkan.

Tentunya antara babak yang turut menjadi penantian 6000 penonton yang hadir adalah punca sebenar perpisahan mereka puluhan tahun lalu. Memberi gambaran hasutan dan fitnah menyebabkan hubungan mereka berantakkan, Awie juga turut mendedahkan kecantikkn Erra juga membuatkan dia sering rasa terbeban.

Sungguhpun babak-babak ini menjadi antara daya penarik utama konsert tersebut tidak dilupakan kemampuan Awie dan Erra sendiri beraksi membuatkan penonton yang hadir terbuai dengan lagu-lagu popular mereka.

Antara lagu yang dinanti penonton tentunya Di Penjara Janji dan Tragedi Oktober. Selain itu Erra tidak kurang hebatnya apabila tampil dengan lagu Pertemuan dan Hanya Di Mata.

Pada malam itu juga Awie dan Erra turut mempersembahkan lagu Cinta Makrifat yang merupakan lagu terbaharu daripada mereka.