“Bukan sebab dadah, saya memang ada bipolar mania”

Insiden pergaduhan dengan pekerja stesen minyak sehingga ditahan pihak berkuasa, menyebabkan nama penyanyi Zynakal sentiasa dikaitkan sebagai antara artis baharu yang bermasalah.

Muncul selepas beberapa bulan, akhirnya penyanyi ini menjelaskan apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan penyalahan gunaan barang terlarang seperti yang didakwa beberapa netizen sebelum ini.

“Bukan dadah saya memang ada bipolar mania dan sudah disahkan pihak hospital sendiri. Selepas kejadian pergaduhan itu saya ditahan selama satu malam di lokap sebelum dilepaskan.

“Selepas itu saya terus ke hospital untuk buat rawatan selama dua minggu dan dari situ saya tahu ada penyakit ini.

“Antara puncanya mungkin sebab tekanan selain saya tidak menjaga makan dan tidur saya dengan betul,” tambahnya.

Sementara itu Zynakal kini muncul dengan lagu baharu berjudul Sakit. Hasil ciptaan Yonny Boii, ternyata apa yang dilalui Zynakal diceritakan kembali dalam lagu ini.

“Lagu ini terhasil sebelum saya keluar hospital dan apabila Yonny memberikan lagu ini kepada saya, ternyata saya tidak dapat menahan sebak.

“Sakit merupakan sebuah lagu yang dicipta untuk menyampaikan kepada mereka tentang luahan terhadap situasi yang pernah berlaku kepada diri saya sebelum ini,” ujarnya.

Ternyata kolaborasi antara Zynakal dan Yonny itu mendapat sambutan yang cukup hangat apabila lirik video muziknya sudah ditonton sebanyak empat juta di laman YouTube sejak dimuat naik tiga minggu lalu.