Baru 37 hari bergelar bapa, adik Yana Samsudin meninggal dunia dalam tidur

Melalui hari yang sukar semalam, pelakon Yana Samsudin berkongsi kisah pilu dengan pengikutnya di Instagram (IG) apabila memberitahu satu-satunya adik lelakinya meninggal dunia.

Melalui tulisan Yana, adiknya Muhammad Fahmi Harith yang baru sahaja bergelar bapa 37 hari yang lalu meninggal dunia dalam tidur.

Tambahnya sebelum ini mendengar berita kematian membuatkan hatinya berasa sayu sehingga mengelakan daripada mengikutinya. Malah dia juga tidak dapat bayangkan apa yang akan dilaluinya jika membabitkan orang terdekatnya.

Namun siapa sangka adiknya yang baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan ke tiga baru-baru ini menjadi ujian buat dia dan keluarga semalam apabila meninggal seorang diri di rumah kerana adik iparnya masih dalam pantang di Sarawak.

“Rupanya hari ini, kehilangan adik..Ya Allah, macam mana hendak ada kekuatan diri. Satu-satunya lelaki dalam adik-beradik dan baru jadi ayah 37 hari.

“Dik, beritahu Nana yang hendak balik Yong Peng minggu ini sebab mahu sambut hari jadi sekali? Rupanya betul akak bawa engkau balik… Sekejap lagi kita jumpa Nana dan Fattah, emak, abah dan semua ya?

Sebagai kakak, Yana juga menjelaskan adiknya itu adalah seorang yang suka memudahkan urusan orang.

“Dik, kakak halalkan segalanya dunia akhirat. Dik, engkau seorang yang memudahkan urusan orang lain. Ada masalah diam, tiada masalah pun diam,” luahnya.