“Saya Rasa Dimanipulasi” – Ibu Kandung Musa Mahu Noh Salleh Padam Gambar Anaknya

Ibu kandung Musa yang ingin dikenali sebagai Athira mahu Noh Salleh membuat permohonan maaf secara terbuka dan segera memadamkan gambar Musa daripada media sosial dalam tempoh 24 jam.

Ia berikutan kenyataan Noh Salleh dalam program Melodi sebelum ini menimbulkan kekeliruan. Dalam tembual tersebut Noh mendakwa Athira telah memberikan kebenaran untuknya menjaga Musa dengan rela hati.

Menurut Athira ketika ditemui media, dia merasakan dirinya sudah dimanipulasi oleh Noh.

“Apa yang nak dikongsikan di sini, saya sebagai ibu kandung kepada Musa sangat kecewa dengan apa yang terjadi. Saya rasa dimanipulasi dan digunakan di atas kepentingan dia (Noh).

“Saya juga kecewa kerana dia menggunakan saya dengan menyatakan ‘Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya.’

“Disebabkan itu saya mahu Noh menarik balik kenyataan yang dibuat kerana menggunakan nama saya di media.

“Saya mahukan permintaan maaf secara terbuka daripada Noh. Sebelum ini dia membuat perkongsian menerusi media, jadi saya mahu dia buat permohonan maaf menerusi media juga,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya lagi, tindakan Noh dianggap telah melanggar perjanjian yang sudah dibuat antara mereka sejak daripada awal berkenaan kehidupan dan penjagaan Musa.

“Ingin dijelaskan, saya dimaklumkan mengenai Instagram Noh di mana saya rasa sangat kecewa sebab dia tunjuk muka Musa.

“Dalam kes ni apa yang buat saya kecewa apabila Noh tidak mempunyai hak sebagai penjaga sepenuhnya tetapi dia melanggar perjanjian untuk tidak berkongsi wajah Musa.

“Jadi, saya mahu Noh menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap saya dan hantaran membabitkan wajah Musa dan saya juga mahukan permohonan maaf secara terbuka daripadanya.

“Sekiranya dia gagal berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Baca : Noh Salleh Nafi Dakwaan Culik Anak Angkat – “Saya Buang Ego Dengan Menghubungi Bekas Isteri Tetapi Gagal”