Noh Salleh Nafi Dakwaan Culik Anak Angkat – “Saya Buang Ego Dengan Menghubungi Bekas Isteri Tetapi Gagal”

 

Noh Salleh akhirnya menjawab dengan menafikan dakwaan menculik anak angkatnya, Musa dengan bantuan pembantu rumah.

Menurut Noh, 39, tiada sebarang insiden penculikan berlaku dan anak angkatnya Musa diserahkan kepadanya mengikut undang-undang yang sah tanpa sebarang perebutan.

“Saya mahu menyangkal cerita mengenai culik anak itu. Tiada penculikan langsung. Musa diserahkan oleh ibu kandungnya untuk dijaga dengan rela hati.

“Amanah dia dapat kepada saya, bukannya ada perebutan tetapi mengikut dokumen dan undang-undang. Sekarang Musa memang bawah jagaan saya. Dia tengah gembira.

“Memang saya difitnah melalui tuduhan yang teruk. Saya perlu bersuara sebab tiada unsur penculikan langsung,” katanya dalam temu bual bersama media menurut laporan Kosmo!

Noh sebelum ini didakwa menculik anak angkatnya itu dengan bantuan pembantu rumah seperti yang digembar-gemburkan.

Menurut vokalis kumpulan Hujan itu lagi, dia sedang berusaha menghubungi bekas isterinya Mizz Nina untuk membincangkan mengenai anak angkat mereka namun masih belum berjaya.

Noh juga menjelaskan yang dirinya ke balai polis hanyalah untuk membantu siasatan dan tiada sebarang penangkapan dibuat terhadapnya.

“Tiada penangkapan. Hanya pergi ke balai memberikan kenyataan. Tak ada juga yang kena gari atau masuk lokap. Polis minta kerjasama, kita bagi dan mereka faham situasi. Memang tiada unsur jenayah mahupun penculikan.

“Kita sudah cuba macam-macam, hubungi pihak sebelah sana sebab semuanya untuk Musa. Saya buang ego dengan menghubungi bekas isteri tetapi gagal.

“Saya juga sudah hubungi orang sekeliling tetapi tak tahu kenapa tidak dapat. Kalau boleh nak berdamai dan curahkan kasih sayang kepada Musa,” jelasnya.

Sumber : Kosmo!