“Saya Macam Bawang Banyak Lapisan, Susah Cari Pasangan Boleh Faham” – Aina Abdul

Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Aina Abdul mengakui dirinya belum bersedia untuk memberi komitmen terhadap hubungan cinta kerana jadual kerja yang padat ketika ini.

Jelas pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani itu, dia tidak mempunyai ruang untuk menjalin hubungan cinta kerana terlalu fokus dengan kerjaya selain bimbang tidak dapat memberi perhatian kepada bakal kekasihnya.

“Susah sebenarnya untuk saya jawab soalan ini. Saya suka benda yang orang tak suka, berbeza, namun saya terbuka mengenali sesiapa untuk berkawan.

“Saya ini macam bawang, banyak lapisan, susah nak cari orang yang benar-benar faham diri saya, jadi saya tidak mahu jalin hubungan tanpa fokus betul-betul, nanti pasangan saya terluka,” katanya kepada Kosmo! Online.

Aina bakal mengadakan konsert mega, A Night With Aina Abdul 3.0 yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 November. 

Ditanya sama ada pelantun lagu Terus Hidup itu ada menaruh perasaan atau meminat mana-mana jejaka, dia berkata, sudah menjadi lumrah seorang wanita untuk memiliki naluri sebegitu.

“Kalau sekadar suka itu ada, sebab sudah lumrah manusia suka tengok sesuatu yang indah di mata.

“Saya ada kenalan lelaki tetapi tidaklah rapat malah tidak menghalang diri berkawan kerana kebanyakan inspirasi lagu saya adalah berdasarkan pengalaman peribadi dan orang lain.

“Mahu menamatkan zaman bujang pun rasanya lambat lagi sebab jadual saya pada ketika ini tidak membenarkan,” katanya pada majlis Sidang Media A Night With Aina Abdul semalam.

Dalam perkembangan lain, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu bakal mengadakan konsert solo berskala mega iaitu A Night With Aina Abdul 3.0 yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 November.

Sumber: Kosmo