KDN Haramkan Mentega Terbang, Kandungan Bertentangan Dengan Akidah Islam

Foto: Jejak Tarbiah

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan tayangan dan publisiti filem indie tempatan, Mentega Terbang.

Perintah itu dibuat menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 dan ditandatangani oleh Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Sebelum ini, filem tersebut ditayangkan menerusi platform penstriman video telah mengundang kecaman dan kegusaran orang awam, berikutan karya itu didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap kandungan filem itu juga mendapati, terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Naskah berurasi satu jam 44 minit itu merupakan sebuah filem bebas arahan Khairi Anwar pada tahun 2012 yang mengisahkan konflik keagamaan seorang remaja Islam, Aisyah mendalami teologi agama-agama utama lain, terutamanya persoalan hidup selepas mati.

Sumber: Kosmo