Bakal Pengantin ‘Selfish’ Jadi Punca Kebakaran Padang Seluas 50 Hektar

Jakarta: Gara-gara menggunakan suar ketika penggambaran foto praperkahwinan, satu pasangan menyebabkan padang rumput di Bukit Teletubbies, Gunung Bromo, Indonesia, terbakar dan ia kemudiannya merebak dan berlarutan sehingga lima hari.

Tribun News melaporkan, pasangan berkenaan, Hendra Purnama dan Pratiwi Mandala Putri menjadikan bukit berumput yang indah di daerah Probolinggo, Jawa Timur itu, sebagai lokasi penggambaran foto paperkahwinan mereka.

Hendra yang berasal Surabaya dan Pratiwi dari Palembang itu mengupah jurugambar perkahwinan untuk sesi penggambaran berkenaan.

Semasa sesi penggambaran, empat suar dinyalakan, manakala satu suar gagal menyala dan meletup.

Letupan itulah punca kebakaran yang merebak dari padang rumput sehingga ia membabitkan kawasan seluas 50 hektar.

Kebakaran terus merebak hingga ke kawasan Desa Ngadas, mukim Poncokusumo di daerah Malang.

Akibat kebakaran rumput dan tanah yang berleluasa di Bromo, pihak Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS) menutup semua tapak pelancongan di kawasan Bromo, Jawa Timur.

“Selain semua lawatan pelancong adalah ditutup, kebakaran turut menyebabkan penutupan jalan antara Malang-Lumajang-Malang.

“Semua akses pelancong sama ada ke Bromo mahupun ke Ranu Regulo, turut ditutup. Penutupan sepenuhnya ini adalah untuk kelancaran usaha pemadaman dan memberi perhatian kepada keselamatan masyarakat yang akan melalui kawasan TNBTS,” kata TNBTS di Instagram.

Ketua Polis Daerah Probolinggo Resort, Wisnu Wardana berkata, pihaknya dimaklumkan kebakaran tanah dan padang rumput di Bukit Teletubbies, Bromo itu pada Rabu lalu.

Katanya, pihak TNBTS melaporkan kejadian itu tetapi apabila polis tiba di tempat kejadian, dia mendapati api sudah merebak.

Polis pada Khamis minggu lalu turut menamakan pengurus syarikat jurugambar perkahwinan itu sebagai suspek kejadian.