Saharul Ridzwan Idolakan Shuib Sebagai Ikon Perniagaan

PELAKON Saharul Ridzwan akui dia mengidolakan pelawak terkenal iaitu Shuib sebagai ikon perniagaan yang dianggap berjaya menceburi bidang itu.

Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, turut berkata dia juga menjadikan Datuk Rosyam Noor sebagai pencetus semangatnya untuk menjadi seorang ahli perniagaan terkenal serta disegani ramai.

“Saya pernah berniaga pelbagai jenis perniagaan antaranya serunding, minyak wangi serta skrub muka, namun semuanya tidak menjadi kerana tiada pelanggan.

“Saya juga pernah rugi hampir RM30,000 akibat serunding saya berulat semasa bulan puasa menyebabkan saya hampir putus asa.

“Kerugian yang saya alami itu disebabkan kurangnya ilmu dalam bidang perniagaan, oleh itu saya perlu banyak lagi belajar ilmu-ilmu keusahawanan agar perkara yang sama tidak berulang,”jelasnya.

Saharul ceburi bidang perniagaan minyak wangi.

Saharul kini menceburi bidang perniagaan baharu iaitu menjual wangian aroma rumah dan kereta keluaran syarikatnya babitkan modal sebanyak RM250,000.

“Walaupun saya masih aktif dalam bidang lakonan, saya menceburi bidang perniagaan sebagai batu loncatan untuk tambah pendapatan.

“Saya sedar populariti yang saya raih sebagai pelakon tidak akan kekal lama, jadi saya perlukan pelan hidup lain untuk masa depan saya dan keluarga.

Sumber: mstar