Pelajar carut guru di baju sekolah disaman polis

PELAJAR yang viral di laman sosial memakai baju sekolah dengan bertulisan kata-kata kesat kepada guru dengan menunggang motosikal tanpa topi keledar disaman polis, lapor HMetro.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dua pelajar berkenaan dan mengeluarkan saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, antara saman yang dikeluarkan adalah tidak mempunyai lesen memandu, kesalahan nombor pendaftaran dan motosikal tidak dilindungi insurans, katanya kepada HMetro.

“Kita sudah keluarkan saman kepada pemilik kenderaan yang dinaiki dua pelajar berkenaan pada pagi tadi selepas berjaya mengesan mereka.

“Saya nasihatkan patuhi undang-undang dan hormati guru,” katanya ketika ditemui dalam operasi sekatan jalan raya di Kampung Badak, di sini, hari ini.

Terdahulu, dua pelajar itu dan pemilik motosikal terbabit turut dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan atas kesalahan tidak memakai topi keledar.

Dua pelajar itu tular selepas dilihat memakai pakaian seragam sekolah dengan menconteng kata-kata kesat terhadap guru.

Ketika kejadian itu, mereka dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menjalani peperiksaan.

Sumber: HMetro