Iqbal Zulkefli dedah alami muntah kerana kecewa dengan persembahan pertama di Big Stage 2022

SEPERTI yang hangat diperkatakan, kemunculan usahawan Iqbal Zulkefli sebagai salah seorang peserta program Big Stage 2022 (BS22) malam tadi bukan sahaja mengejutkan malah menjadi pertikaian ramai.

Sedar akan penyertaannya dalam rancangan tersebut mengundang persepsi negatif, Iqbal akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar menerusi laman sosialnya. Malah, Iqbal juga berkata dia mengalami muntah kerana terlalu memikirkan persembahannya.

“Sesampai di rumah, saya muntah kerana terlalu banyak berfikir, kecewa dengan persembahan sendiri. Waktu menyanyi di pentas, saya tidak dapat kesan suara nyanyian saya seteruk yang terpapar di TV tadi.

“Saya terima sepenuhnya markah juri berikan. Apa yang netizen katakan nyanyian saya sangat rosak, saya sendiri pun bersetuju. Saya rasa bersalah pada ASTRO dan semua yang telah berikan saya peluang. Maafkan saya cikgu jika ini mengecewakan.

“Namun, saya mohon jasa baik semua, berikan sedikit pertimbangan untuk saya yang bukanlah seorang yang terdidik sebagai seorang penyanyi apatah lagi di pentas sehebat itu. 

“Segalanya kejutan. Tidak sempat latihan seperti peserta lain. Saya tidak tahu Dato Seri Vida ada di program ini dan beliau pun langsung tidak tahu saya akan sertai Big Stage, tulisnya.

Perkongsian Iqbal di laman Facebook.

Dia turut mendedahkan telah beberapa kali menolak tawaran menyertai BS22.

Bagaimanapun dia nekad bagi merebut peluang berkenaan.

“Saya tinggalkan segala hal lain demi Big Stage. Pada awalnya berkali-kali saya menolak tawaran untuk sertai. Namun saya fikir, peluang ini sekali sahaja seumur hidup. 

“Saya memohon kembali ASTRO supaya berikan izin untuk sertai juga. Berikan saya peluang untuk belajar. Tidak mengharapkan kemenangan, seminggu sahaja lagi, kalau terlalu buruk, saya sendiri akan tarik diri walaupun tiada penyingkiran di minggu hadapan.

“Saya tetap bangga dengan diri saya yang tetap berani kedepan dan ambil peluang ini. Pelajaran paling berharga adalah pengalaman. Untuk orang lain yang hanya tahu mengecam, jika dicabar berada di tempat saya, mungkin dari awal sudah tidak berani kedepan.

“Ini bukanlah suatu jenayah. Jangan nilai saya seperti sudah terdidik untuk menjadi penyanyi sejak awal. Hanya doa yang saya harapkan, agar tetap bersemangat. Kita tidak tahu apa terjadi di kedepan hari, jelas Iqbal.

BS22 turut penyanyi Tegar Septian, Elica Paujin, Lia Aziz, Sofiaa Marieylla, Ajoi Zainal, Tuah Adzmi, Syafiq Abdillah, Megat Rahim, Daniel Chuer, Aishah Retno dan Yazmin Aziz.