Rayan akan dikebumi hari ini

JENAZAH kanak-kanak yang meninggal dunia ketika terperangkap di dalam sebuah perigi akan dikebumikan hari ini

Maghribi dikatakan telah melakukan persiapan untuk mengebumikan Rayan, 5 tahun yang mendapat perhatian dunia, lapor Kosmo.

Nasib kanak-kanak itu meruntun jiwa seluruh dunia selepas dia terjatuh ke dalam sebuah perigi sempit sedalam 32 meter pada Selasa minggu lalu.

Majlis pengebumian akan diadakan di kampungnya di Ighrane yang terletak di kawasan pergunungan Rif, utara Maghribi di mana tragedi itu berlaku, demikian menurut seorang pegawai tempatan dan waris mangsa.

Berita kematian Rayan diumumkan oleh kabinet diraja Maghribi selepas Raja Mohammed VI menelefon ibu bapa mangsa untuk mengucapkan takziah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Raja Mohammed, pihak berkuasa dan semua yang telah membantu kami.

“Semoga roh anak kami dicucuri rahmat, “ kata bapa Rayan, Khaled Aourram kelmarin.

Terdahulu, jenazah Rayan dibawa ke sebuah hospital tentera di Rabat, demikian menurut seorang sepupu keluarga tersebut, namun belum ada laporan mengenai sebarang bedah siasat.

Sumber: Kosmo