Dikatakan Hina B40, Ryzal Enggan Mohon Maaf Hanya Mahu Beri Kesedaran

PENGENDALI saluran YouTube Durian Kimchi, Ryzal Ibrahim, 31, menegaskan dia tidak perlu membuat permohonan maaf atas tindakannya menghasilkan dan memuat naik video mengenai sikap golongan B40 yang seolah-olah menyindir golongan itu, baru-baru ini.

Ryzal yang mengendalikan saluran itu bersama isterinya, Maryam You Narae yang juga warga Korea Selatan berkata, tujuan video itu dibuat untuk menimbulkan kesedaran dalam masyarakat.

“Sebelum ini, saya pernah tekankan bahawa saya tak perlu mohon maaf sebab saya tak rasa saya bersalah. Saya bukan hina mereka, saya memberi kesedaran.

“Ia memang berlaku dalam kehidupan kita dan bukanlah satu penghinaan. Niat saya adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya kepada Harian Metro.

Kandungan video itu memaparkan kehidupan hariannya sebagai golongan B40. Bagaimanapun, kandungan video itu menimbulkan kontroversi apabila dia berbelanja barangan mewah umpama golongan T20.

Ryzal bagaimanapun tidak menolak sekiranya gurauannya itu terlalu ‘dalam’ dan gagal difahami segelintir orang.

“Mungkin lawak saya terlalu ‘dalam’ dan mereka tak dapat fahami maksud sebenar yang saya nak sampaikan.Mungkin lepas ini, saya akan lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan di media sosial,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Sumber gambar – VOCKET | Sumber laporan – Harian Metro