Adam Corrie sekali lagi ditegur haram guna ‘chopstick’ – “Ia hanya alat untuk makan sama seperti sudu”

“UNTUK pengetahuan tuan, saya Cina Muslim”, itu antara petikan komen balas pelakon Adam Corrie apabila menerima teguran oleh seorang pengikutnya apabila dilihat menjamah makanan menggunakan chopstick.

Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah yang memeluk agama Islam pada 2007 ditegur pengguna laman Facebook dengan nama ‘Jefri Wahab’ yang mendakwa makan menggunakan peralatan yang menjadi budaya bangsa Cina itu sebagai haram di sisi agama.

“Bila nak makan baca doa tu bagus, tapi yang tak elok adalah makan dengan kayu sepit (chopstick). Hukumnya tak boleh, haram kita sebagai orang Islam.

“Tak boleh buat macam tu. Maafkan saya atas teguran ini,” tulis Jefri.

Adam, 53, bagaimanapun dengan sopan membalas teguran tersebut.

Dia menjelaskan sudah beberapa kali merujuk kepada ilmuan Islam tentang hukum menggunakan alatan tersebut.

“Terima kasih tuan, untuk pengetahuan tuan, saya Cina Muslim. Saya sudah rujuk banyak kali dengan ustaz-ustaz saya.

“Bolehkah saya guna chopstick kerana ia adalah budaya orang Cina? Ustaz kata boleh kerana ia hanya alat untuk makan sama seperti sudu , garfu dan pisau,” tulis Adam.

Komen balas Adam.

Pelakon yang sering membawa watak antagonis dalam kerjayanya juga menjelaskan penggunaan chopstik langsung tidak berkait dengan akidah seseorang umat Islam.

“Tiada kaitan dengan akidah , iman dan agama,” tulis Adam lagi.

Individu terbabit bagaimanapun telah meminta maaf atas teguran yang diberikan

“Maafkan saya,” tulis Jefri.

Komen tersebut turut mendapat perhatian netizen yang terkejut dengan teguran yang dirasakan tidak berasas itu.

Komen balas netizen.


“Buka balik laman web mufti. Semak fatwa. Sedap je kata tak bagus. Ikut lah nk makan guna sudu ke, chopstick ke, straw ke janji tangan kanan.

“Apa masalah kau ni? Asal budaya bukan Melayu semua bagi kau tak bagus? Buka sikit minda tu, Islam ni utk semua, bukan untuk Melayu je,” komen seorang netizen.

Pelakon berasal dari Pulau Pinang yang fasih berbahasa Melayu ini sering tampil dengan watak antagonis dalam drama atau filem lakonannya.

Antara aksinya dalam filem yang paling meninggalkan kesan kepada penonton ialah karakter Dragon yang dilakonkan menerusi filem KL Gangster 1 dan 2.

Selain itu, Adam Corrie juga berbakat dalam tarian dan pernah aktif sebagai penari profesional serta pereka tari Akademi Fantasia musim kedua dan keempat.

Untuk rekod, Adam juga pernah berhadapan situasi sama pada November tahun lalu apabila ditegur tentang hukum menggunakan chopstick.