4 mangsa insiden tanah runtuh Taman Bukit Permai 2 ditemui maut, seorang cedera ringan

KEJADIAN tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang berlaku petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan 

Kejadian turut menyebabkan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas, lapor Kosmo

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kelima-lima mangsa ditamatkan kira-kira pukul 2 pagi selepas mengesahkan penemuan mayat mangsa keempat dan kelima.

Foto: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

“Dengan penemuan mayat mangsa keempat dan kelima, operasi SAR ditamatkan.

“Kedua-duanya lelaki warga tempatan termasuk seorang pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), masing-masing pada 12.46 tengah malam dan 1.59 pagi,” katanya kepada Kosmo.

Terdahulu, mangsa pertama iaitu seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kedua yang merupakan isteri mangsa pertama ditemukan pada 7.53 malam dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dibawa keluar pada 9.15 malam.

Selain itu, mayat mangsa ketiga iaitu seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik rumah ditemui pasukan penyelamat kira-kira pukul 10.45 malam sebelum dibawa keluar pada pukul 10.58 malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, pasukan penyelamat akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.

Sumber: Kosmo