“Berbaloi tak tidur malam teman isteri di dewan bersalin” – Harry Khalifah timang anak kelapan!

PENYANYI dan komposer terkenal, Harry Khalifah, menimang seorang lagi cahaya mata apabila isterinya, Noormala, selamat melahirkan anak kelapan mereka pada pagi Sabtu.

Harry atau lebih mesra disapa Apak, 41, berkata, isterinya melahirkan bayi seberat 3.13 kilogram itu secara normal di sebuah pusat perubatan swasta pada pukul 9 pagi.

“Alhamdulillah, orang rumah Apak dah selamat bersalin.

“Apak dapat anak perempuan, terima kasih atas doa-doa kalian, tulis Apak di Instagram.

Penyanyi lagu terkenal Suaramu Syairku ini kemudian berkongsi satu video menjelaskan keadaan semasa menemani isterinya di hospital.

“Terima kasih kerana doakan saya seisi keluarga. Saya rasa amat terharu dengan kelahiran anak perempuan ini.

“Berbaloi saya tak tidur semalaman, semoga anak dan isteri saya sihat sentiasa,” jelasnya.

Melalui satu laporan, Apak mendedahkan dia dan isteri sudah mempunyai nama untuk bayi berkenaan.

Bagaimanapun mereka hanya akan berkongsi mengenai nama itu pada hari ketujuh kelahiran.

Kelahiran cahaya mata ini menjadikan Apak atau nama sebenar Ahmad Sairi Haslan Mohd Redzwan sebagai bapa kepada 8 anak, 6 adalah lelaki manakala 2 lagi merupakan anak perempuan.