Bintang muda MU belasah kekasih, rakaman audio paksa adakan hubungan itim tersebar

BINTANG muda Manchester United, Mason Greenwood didakwa melakukan keganasan fizikal terhadap teman wanitanya, Harriet Robson.

Ia selepas tindakan Robson memuat naik foto menunjukkan kesan darah di bibirnya dan beberapa kesan lebam di bahagian kaki dan tangan menerusi Instagram Story di laman Instagram miliknya, lapor Kosmo.

Robson turut memuat naik kenyataan yang tertera “Kepada sesiapa yang mahu mengetahui apa sebenarnya Mason Greenwood lakukan kepada saya” dalam hantaran berkenaan.

Tidak lama kemudian, Robson memuat naik beberapa rakaman suara yang mendakwa Greenwood bersikap kasar dan mengugutnya dalam Instagram Story miliknya.

Rakaman tersebut turut memperdengarkan situasi dimana Greenwood memaksa Robson untuk mengadakan hubungan itim.

Bagaimanapun perkongsian tersebut telah dipadam Robson.

Kontroversi itu mengejutkan ramai pihak sehingga menjadi trending di laman sosial Twitter.

Greenwood adalah salah seorang bakat muda yang mempunyai masa depan cerah bersama United.

United juga dikatakan enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut, namun menegaskan pihaknya tidak berkromponi dengan sebarang insiden keganasan.

“Kami sedia maklum mengenai gambar-gambar dan dakwaan yang tular di media sosial. Kami tidak akan membuat sebarang ulasan sehingga mendapat kesahihan fakta,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya dakwaan Robson benar, ia bakal menyebabkan karier Greenwood berada dalam keadaan bahaya sekali gus mampu menjejaskan masa depan penyerang berusia 20 tahun itu.

Sumber: Kosmo