Aina Abdul sapu 2 anugerah di AJL37!

ANUGERAH Juara Lagu ke-37 (AJL37), yang berlangsung malam tadi di Axiata Arena, Bukit Jalil telah menyaksikan penyanyi Aina Abdul merangkul 2 anugerah iaitu Juara AJL dan juga vokalis terbaik.

Lagu yang dipertaruhkan di acara anugerah tahunan itu dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh penyanyi tersebut. Aina yang diumumkan sebagai juara, membawa pulang sebuah trofi dan hadiah tunai RM100,000 selepas memberikan sebuah persembahan vokal yang memukau penonton.

Naib juara pula disandang oleh Presiden HipHop Malaysia, Joe Flizzow bersama SonaOne dengan lagu ciptaan SonaOne, membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh Alif Satar & The Locos, dengan lagu ciptaan Alif Satar, Shah Shamshiri, Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwis. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM30,000.

AJL37 yang bertemakan ‘Dimensi Muzik’ itu juga menyaksikan Shiha Zikir yang memberikan persembahan yang tampak ‘futuristik’ memenangi persembahan terbaik, manakala Khai Bahar pula dipilih sebagai Penyanyi Pilihan Popular menerusi undian di TikTok. Masing-masing berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Selain itu, AJL37 juga dimeriahkan lagi dengan persembahan pembukaan dan penutup dari barisan penyanyi baru dan lagenda yang hebat seperti Syamel, Masdo, DeFam, Exist, Blues Gang dan ramai lagi.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37!

Sumber gambar – Instagram AJL37