Wanita Halang Laluan Ambulans Alami Masalah Menta

Baca : [Video] “Nyawa Orang Buat Main?” – Netizen Bengang Kereta Halang Ambulans

Seorang pemandu wanita yang menghalang laluan sebuah ambulans di Jalan Lingkaran Tengah 2 baru-baru ini dipercayai mengalami masalah mental.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, pihaknya berjaya mengesan pemandu berusia 41 tahun selepas pemandu ambulans membuat laporan polis.

“Pemandu kereta jenis Toyota Camry itu dibawa ke Balai Polis Trafik bagi tujuan siasatan.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan berkenaan didapati menghadapi masalah psikiatri dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan rawatan serta mendapatkan laporan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian berlaku ketika ambulan dari arah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menghala ke Ulu Kelang.

“Ambulans berkenaan memasang siren untuk penugasan kecemasan membawa pesakit dalam perjalanan dari HUKM menghala ke kediaman pesakit di Ulu Kelang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987.