POLIS menahan dua individu bagi membantu siasatan susulan ugutan jenayah membabitkan pegawai kanan polis berpangkat DSP.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan menerima aduan berhubung kejadian itu yang turut tular di media sosial.
“Mangsa merupakan wanita berusia 36 tahun mendakwa diugut dan dicederakan kerana ingin meminta semula wang yang dipinjamkan kepada Pegawai Kanan Polis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Arjunaidi memberitahu, siasatan kini telah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Tegasnya, pihak polis akan menjalankan siasatan yang terperinci dan telus selain tidak berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggota polis yang melanggar undang-undang.
Orang ramai juga dinasihatkan agar menghentikan sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan termasuk menyebarkan kes berkenaan di media sosial.