Tak nak pulang aset, polis rampas kenderaan rasmi bekas Exco

AKIBAT enggan memulangkan aset kerajaan, polis Melaka bertindak merampas kenderaan rasmi bekas Exco Negeri Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, rampasan dibuat pada Selasa lalu di sebuah kondominium di Jalan Tun Perak pada jam 11.20 pagi yang dipercayai kediaman bekas Exco berkenaan.

Tindakan dibuat susulan laporan yang dibuat pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri sebelum pihak polis mendapatkan waran geledah oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

“Bertindak atas waran geledah yang dikeluarkan oleh mahkamah, sepasukan pegawai dan anggota polis telah merampas kereta bernombor pendaftaran MAL 3 di aras tiga sebuah kondominium berkenaan.

“Pihak polis turut merampas satu anak kunci kereta, kad Touch and Go dan kad minyak daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu rasmi kepada beliau yang hadir menyaksikan rampasan dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Norhizam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu bertegas enggan memulangkan aset kerajaan negeri meskipun sudah melepaskan jawatan Exco pada hujung bulan lalu.

Setakat ini, polis telah merakam keterangan lima saksi bagi membantu siasatan tersebut.

Dalam masa sama, polis juga akan merakam keterangan Norhizam dalam masa terdekat sebelum siasatan diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.