Menteri Belia dan sukan nafi kahwini Erra Fazira, “Saya nikah hanya sekali”

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau telah bernikah dengan selebriti terkenal, Erra Fazira seperti yang didakwa.

Memetik laporan Kosmo, Ahmad Faizal menegaskan bahawa beliau hanya pernah bernikah sekali seumur hidupnya.

Malah dia menjelaskan amat bahagia bersama isteri serta anak-anak.

“51 tahun hidup, saya pertama kali dapat soalan begitu dan saya sebenarnya pernah bernikah sekali. Itu pun dengan isteri saya dan saya amat bahagia dengan isteri dan anak-anak saya” jelasnya.

Ahmad Faizal semasa menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris.

Perkara itu dimaklumkan semasa beliau menjawab soalan oleh Senator Datuk Razali Idris yang mahu mendapat kepastian susulan tular dakwaan Ahmad Faizal bernikah dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu.

Bagaimanapun pada mulanya, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim tidak membenarkan Ahmad Faizal menjawab soalan itu kerana di luar skop tumpuan, Ahli Parlimen Tambun itu tetap menjawab soalan tersebut.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial tentang dakwaan Erra Fazira sudah berkahwin dengan Ahmad Faizal sekaligus menjadi isteri kedua bekas Menteri Besar Perak itu.

Sumber: Kosmo