Van Mercedes rempuh belakang lori, tiga parah

SEORANG pemandu bersama dua penumpang sebuah van parah selepas kenderaan yang mereka naiki dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 268 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah utara, pagi Khamis.

Mangsa yang cedera parah terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita. Masing-masing berusia antara 20 hingga 50 tahun, lapor Sinar Harian.

Manakala seorang lagi penumpang lelaki dan seorang perempuan hanya mengalami cedera ringan.

Menurut Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II Mahmud Azaddin, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 6.05 pagi.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori 20 tan dan sebuah van jenis Mercedes.

“Terdapat lima mangsa terlibat, tiga orang cedera parah manakala dua lagi mengalami cedera ringan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang parah dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan.

Operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Meru Raya dan BBP Simpang Pulai tamat jam 7.19 pagi.

Sumber gambar – JBPM | Sumber laporan – Sinar Harian