Kes pelaburan Lavida Coin melibatkan 41 mangsa, tiada lagi notis pelantikan peguam oleh DSV

MOHAMMAD Izwan Azmi, peguam yang mewakili 41 mangsa skim pelaburan mata wang kripto milik Datuk Seri Vida iaitu Lavida Coin (DSV Crypto Club, LUX Galaxies and VI Profit Galaxy) memaklumkan tidak menerima sebarang notis lantikan peguam yang mewakili Vida dalam kes ini.

Izwan dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates memaklumkan pada Harian Metro yang tiada sebarang perkembangan terbaru walaupun mahkamah telah menetapkan 20 Mac ini untuk memaklumkan status kes terkini selain memfailkan permohonan taksiran kos oleh pihak mahkamah.

“Setakat hari ini kami tak terima sebarang notis Vida melantik peguam. Sampai hari ini belum ada apa-apa daripada Vida mahupun peguam yang dilantiknya,” kata peguam tersebut.

10 Mac lalu, dalam sebuah sidang media, Izwan bersama mangsa-mangsa terbabit telah menuntut kerugian berjumlah RM59 juta dari usahawan kosmetik terbabit yang telah berjanji bahawa wang pelaburan yang dibuat sejak 2018 serta keuntungan akan dikembalikan.

Susulan itu, Vida dan pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Diyla bertindak menyekat panggilan dan mesej WhatsApp.

Mereka turut memfailkan saman terhadap Vida di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersama tiga lagi rakan kongsinya bernama Shuhada Ab Aziz, Mohd Kamarul Azmi dan Noordin Sahlam yang bersama sama menjalankan Lavida Coin.

Izwan juga telah mengemukakan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Vida selaku defendan pertama pada 15 Disember 2022 di Empire Beauty DSV, Angsana Mall, Ipoh, Perak.

Sumber gambar – Instagram | Sumber laporan – Harian Metro