Tular Wanita Bukan Islam Dikompaun Kerana Berseluar Pendek Di Kelantan

MAJLIS Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengesahkan mengeluarkan kompaun ke atas wanita bukan Islam kerana berpakaian menjolok mata, semalam.

Wanita berusia 35 tahun yang menjalankan perniagaan pakaian itu dikenakan kompaun ketika pemeriksaan penguat kuasa.

Yang Dipertua MPKB Rosnazli Amin berkata, pegawainya melakukan pemeriksaan di premis terletak di Jalan Merbau itu pada 11 pagi.

“Peniaga bukan Muslim itu memakai seluar pendek di tempat awam dan kerana itu dikompaun,” katanya ketika dihubungi.

Tindakan dibuat bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985, dengan undang-undang berkaitan pemakaian sopan sudah lama diguna pakai terhadap penduduk Kelantan termasuk bukan Islam.

Difahamkan, wanita itu mempunyai masa tujuh hari daripada tarikh notis dikeluarkan untuk menjelaskan denda, jika enggan dikenakan tindakan lanjut.

Kejadian itu tular di media sosial selepas ahli keluarga wanita berkenaan memuat naik notis kompaun dan turut menimbulkan perdebatan warganet.

Sumber gambar – Facebook | Sumber laporan – Harian Metro