Mahu Anak Bebas Segera Dari Penjara Kajang, Ibu Terpedaya Bayar ‘Scammer’ RM3.5 Juta

KERANA kasih sayang terhadap anak, seorang wanita kerugian RM3.5 juta selepas terpedaya dengan seorang lelaki yang mendakwa dapat membantu membebaskan anaknya, 38, daripada tahanan polis.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, mangsa yang merupakan ahli perniagaan itu telah membuat beberapa pembayaran kepada suspek sepanjang tempoh tiga tahun iaitu sejak Mac 2020.

Menurut beliau, mangsa hanya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada bulan ini selepas merasakan dirinya tertipu.

“Pengadu, 67, mengenali suspek iaitu seorang lelaki tempatan pada Mac 2020. Suspek mendakwa boleh membantu membebaskan anak perempuan pengadu yang ditahan di Penjara Kajang atas kesalahan bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 2019.

“Suspek memberitahu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes bagi menyelesaikan kes itu dan membebaskan anak pengadu secepat mungkin dengan syarat pengadu memberikannya sejumlah wang.

“Termakan dengan kata-kata suspek, pengadu telah membuat beberapa kali pembayaran antara Mac 2020 hingga Jun 2023 melibatkan wang berjumlah RM3.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kumar, pengadu memaklumkan setelah pembayaran tersebut dibuat, suspek memberikan pelbagai alasan sedangkan anak perempuannya masih tidak dibebaskan sehingga ke hari ini menyebabkan pengadu berasa tertipu dan membuat laporan polis.

“Sehubungan itu, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menjalankan operasi di sekitar bandar raya ini pada pukul 12.35 pagi, 16 Jun lalu.

“Hasil operasi tersebut, polis berjaya menahan suspek iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun,” ujarnya.

Menurut Kumar lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda.

Sumber gambar – Astro Awani| Sumber laporan – Harian Metro