Sultan Brunei Adakan Lawatan Selama Tiga Hari Ke Malaysia

Foto : Anwar Ibrahim FB

PETALING JAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) ke-24 antara kedua-dua negara.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, keberangkatan baginda diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan.

Jelas kenyataan itu, Sultan Hassanal Bolkiah akan dirai Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu Majlis Sambutan
Negara di Istana Negara esok.

“Ini akan disusuli dengan Kunjungan Mengadap ke atas Yang di-Pertuan Agong dan satu Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Brunei dan delegasi,” kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, semasa Lawatan Negara itu juga, Sultan Brunei dijadualkan menghadiri ALC ke-24 bersama Perdana Menteri, Datuk.Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei, ALC akan memberikan peluang bagi kedua-dua pemimpin membincangkan kemajuan kerjasama dan isu-isu dua hala yang tertunggak.

“Kedua-dua pemimpin akan menggunakan peluang ini untuk membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,”ujar Wisma Putra.

Tambah kenyataan itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala di antara Malaysia dan Brunei.

Lawatan negara itu akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan erat dan pelbagai jalinan kerjasama yang telah lama wujud di antara kedua-dua buah negara yang juga rakan kongsi di dalam ASEAN.

Brunei Darussalam merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia dan rakan dagang ke-6 terbesar di rantau ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM13.22 bilion (USD2.98 bilion) pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 68.4 peratus berbanding tahun 2021.

Sumber : Kosmo