KL Sentral Akan Dibangunkan Semula

Foto : The Star

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini bersetuju supaya Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) dibangunkan semula bagi meningkatkan kapasiti sedia ada yang kini melebihi 200,000 penumpang sehari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jemaah menteri memutuskan proses pembangunan semula dan menaik taraf stesen akan diserahkan kepada pemaju asal hub pengangkutan itu, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan menerusi pembiayaan swasta oleh MRCB tanpa sebarang kos daripada pihak kerajaan.

“Projek itu bernilai RM1 bilion dan sebagai balasan, MRCB dibenar membina projek komersial termasuk kediaman di atas stesen itu.

“Proses pembinaan semula stesen itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan operasi di hab pengangkutan awam terbabit dan tidak akan berlalu pemindahan stesen,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, proses naik taraf itu penting kerana stesen itu sudah melebihi kapasiti sedia ada dan mencecah 200,000 penumpang sehari berbanding kapasiti sebenar sekitar 100,000 penumpang.

Loke berkata, projek itu membabitkan belanja yang besar, namun pembinaannya masih tertakluk kepada syarat diletakkan kerajaan dan kementerian berkaitan.

Menurutnya, stesen itu perlu dibina semula kerana ia terletak di kedudukan sensitif dan menjadi tumpuan ramai. 

Sumber : Kosmo