Sepanyol Juara Liga Negara-Negara

Foto : Sporting News

Dani Carvajal menyempurnakan penalti ala Panenka untuk memberikan Sepanyol kejuaraan Liga Negara-Negara, hasil kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti ke atas Croatia selepas terikat 0-0.

Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon menafikan sepakan Lovro Mayer dan Bruno Petkovic, sebelum Carvajal memastikan kemenangan untuk trofi pertama mereka sejak Euro 2012.

Croatia yang dikendali Zlatko Dalic, naib juara Piala Dunia 2018 dan ketiga pada edisi 2022, belum pernah memenangi kejohanan utama dan Liga Negara-Negara adalah peluang terbaik untuk kelompok pemain veterannya termasuk kapten, Luka Modric, yang beraksi untuk kali ke-166 bersama negaranya menamatkan kemarau kejuaraan.

Kemenangan itu menyuntik keyakinan buat pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente selepas dikritik hebat pada Mac susulan kekalahan di tangan Scotland dalam kelayakan Euro 2024. Ia juga menebus kekecewaan kekalahan pada final 2021 di tangan Perancis.

“Bagi kami ia adalah peluang unik, kami tersingkir awal dalam satu lagi kejohanan (Piala Dunia Qatar) dan hari ini kami perlu memanfaatkan peluang itu.

“Kami yakin dengan penalti dan ia berjalan lancar, saya tahu bagaimana untuk menyempurnakannya dan saya tahu saya akan menjadi pemain keenam… saya mahu mengambilnya gaya Panenka dan ia berhasil,” kata pertahanan Real Madrid, Carvajal.

Lebih 25,000 penyokong Croatia membanjiri stadium di Rotterdam, dan mereka melaungkan nama Modric pada minit ke-10, mengikut nombor jersi kaptennya itu, sebagai rayuan supaya dia tidak bersara mewakili negara selepas kejohanan itu.

Sepanyol adalah negara kedua berjaya memenangi Piala Dunia, Euro dan Liga Negara-Negara, selepas Perancis pada tahun 2021.

“Kami sangat gembira, ia adalah perlawanan yang sukar. Generasi ini mempunyai potensi. Mental kami sangat kuat.

“Masih banyak yang boleh diperbaiki, tetapi kemenangan ini perlu diraikan,” kata penjaring gol kemenangan Manchester City di final Liga Juara-Juara Eropah, Rodri, yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan.

Sumber : Berita Harian