Pogba tertekan, keliru main posisi apa di MU?

PEMAIN bola sepak terkenal Paul Pogba dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi Manchester United sepanjang lima musim lalu.

Malah dia mendedahkan berasa seakan-akan tidak mempunyai peranan tetap di Old Trafford, lapor Astro AWANI.

Pemain antarabangsa Perancis itu kembali ke United pada 2016 selepas empat kempen bersama Juventus yang sarat dengan trofi.

Pogba kurang menjulang trofi di United apabila hanya memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa.

Kedua-duanya di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2016-17.

Kontrak pemain berusia 29 tahun itu akan tamat hujung kempen ini dan dia dijangka akan berhijrah secara percuma apabila Juve dan Barcelona antara kelab yang dilaporkan berminat.

Dengan United sudah pun tersingkir dalam setiap perebutan piala musim ini dan sedang bersaing sengit untuk meraih tempat keempat Liga Perdana Inggeris (EPL), Pogba menuju ke musim kelima tanpa sebarang trofi di peringkat kelab.

“Kami harus jujur, saya tidak berpuas hati sejak lima tahun lalu, tidak sama sekali,” katanya kepada La Figaro.

“Tahun ini sudah mati (berakhir), kami tidak akan menang sebarang piala lagi.

“Sama ada bersama Manchester atau kelab lain, saya mahu memenangi trofi.”

Pogba telah memenangi Piala Dunia dan Liga Negara-Negara Eroppah bersama Les Blues yang bakal mengadakan perlawanan ujian dengan Ivory Coast dan Afrika Selatan.

Dan tidak seperti di peringkat kelab yang menyaksikan dia telah beraksi di bawah tiga pengurus, pemain tengah itu sebaliknya berasa jauh lebih selesa dengan Les Blues yang menggunakan kepakaran Didier Deschamps untuk tempoh yang panjang.

“Ia mudah. ​​Dengan Perancis saya diturunkan, tambahan pula membabitkan posisi saya. Saya tahu peranan saya, saya berkeyakinan terhadap jurulatih dan rakan sepasukan,” katanya.

“Adalah normal untuk berasakan perbezaan ini dengan Manchester kerana adalah sukar untuk mengekalkan prestasi apabila anda sering menukar posisi, sistem permainan atau gandingan.

“Di Manchester United, adakah saya benar-benar mempunyai peranan? Saya bertanya soalan ini dan saya tidak mempunyai jawapannya.”

Sumber: Astro AWANI