Jojo Ghazali pamerkan aksi menarik di Kejuaraan One 167

Jaguh muay Thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo terpaksa akur tewas kepada peninju lebih berpengalaman dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat di Kejuaraan ONE 167.

Meskipun peninju kelahiran Sarawak itu tewas kepada pemegang tali pinggang Kejuaraan WMF Muay Thai, Nguyen Tran sebanyak lima kali berturut-turut, pertembungan itu membuktikan kemampuannya beraksi di peringkat antarabangsa.

Dalam pertarungan tiga pusingan kategori Flyweight, Jojo tidak pernah mengundur dari memberi asakan sementara Nguyen mengambil pendekatan untuk melakukan serangan balas.

Peninju berusia 17 tahun itu membuktikan pengalaman bukan penghalang buatnya apabila beliau dapat memberikan tentangan hebat dengan menjatuhkan Nguyen yang ingin mempertahankan dirinya dari serangan Jojo yang bertubi-tubi.

Walaubagaimanapun, serangan yang diberikan itu tidak cukup untuk menghentikan Nguyen dari memenangi pertembungan yang berlangsung di Arena Impact, Bangkok, Thailand itu.

Selepas tiga pusingan, Jojo terpaksa menerima keputusan pihak pengadil apabila Nguyen diumumkan sebagai pemenang perlawanan tersebut. Sumber – Malaysia Bangkit