Harimau Malaya Setaraf Pasukan 100 Terbaik Dunia

Foto: SatuBerita

KUALA LUMPUR, 7 September- Skuad Harimau Malaya boleh dianggap setaraf dengan pasukan kelompok 100 terbaik dunia.

Ia, selepas pasukan negara mengikat keputusan seri 2-2 dengan Syria, pada perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China semalam.

Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon berkata sungguhpun Harimau Malaya berada pada ranking ke-136, mereka setidak-tidaknya memberi tentangan sengit kepada Qasioun Eagles yang berada pada ranking ke-94 dunia untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol sekali gus berjaya mengikat kedudukan di akhir perlawanan.

“Secara amnya pada separuh masa pertama, prestasi kita agak bagus, kita setara untuk melawan dengan pasukan ke-94 dunia.

“Saya rasa ada dua kesilapan yang menghukum kami, namun pada separuh masa kedua kita tunjukkan ketahanan dan sikap Harimau Malaya, yang mampu mengejar semula permainan dan memberikan tentangan sehingga ke akhirnya, saya sangat gembira” katanya selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium East-Town Football Park di Chendu.

Pada perlawanan itu, dua gol jaringan dua pemain simpanan Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Darren Lok masing-masing dalam separuh masa kedua, menafikan harapan Syria untuk menang, selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, menerusi jaringan Mardek Mrdkian dan Yasin Alsamya.

Sementara itu, menjelang satu lagi aksi antarabangsa Tier 1 berdepan China, Sabtu ini, Pan Gon berkata beliau akan meneruskan ujian taktikal bagi melihat keupayaan skuad kebangsaan apabila berhadapan dengan lawan yang kuat.