Kota Kinabalu: Sabah memerlukan kestabilan politik dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat bagi memastikan negeri ini maju, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka bertitah Sabah adalah sebuah negeri yang amat besar, justeru kestabilan politik dan perpaduan rakyat adalah acuan penting untuk negeri itu dimajukan dengan sebaiknya dan tanpa semua itu, usaha memajukan Sabah tidak akan dapat direalisasikan.
Al-Sultan Abdullah bertitah sepanjang Kembara Kenali Borneo, Seri Paduka mendengar pelbagai suara daripada rakyat Sabah terutama membabitkan kemajuan negeri, malah berseloroh dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam perjalanan itu untuk menjadi ‘tukang catit’ apa disuarakan rakyat negeri ini.
“Kecantikan bukit ini, ladang ini semua ada dalam buku kita (dicatit) ada juga aduan yang kita tulis. Ada juga bukan aduan.
“Mudah-mudahan pandangan saya mengenai jalan raya, bekalan air dan elektrik juga pandangan lain di Sabah dapat diusahakan.
“Saya ketengahkan, bila jumpa PM (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya suarakan apa yang patut disuarakan,” titah Seri Paduka pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam ini.
Turut berangkat pada majlis itu Tunku Azizah.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim Haji M Yahya.
Al-Sultan Abdullah juga meminta pihak terlibat supaya melihat kepada isu jambatan di kawasan Sungai Liwagu yang menurut Seri Paduka mempunyai kawasan cantik tetapi jambatan ‘pecah dua’ yang menyukarkan penduduk kampung untuk melintas.
Seri Paduka bertitah Kembara Kenali Borneo juga memberi peluang untuk Seri Paduka meninjau sendiri pembangunan Lebuhraya Pan Borneo yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Sabah selain membuka peluang lebih banyak kemajuan projek infrastruktur impak tinggi di sepanjang laluan.
“Kerajaan beri tumpuan (Lebuhraya Pan Borneo) jadi ‘game changer’ (pengubah keadaan) di Sabah. Kesejahteraan mereka di kawasan pedalaman dapat diberikan dan dapat dimajukan dengan lebih pantas,” titah Seri Paduka.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah Kembara Kenali Borneo merealisasikan hasrat baginda untuk mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat di Sabah dan Sarawak terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Saya dijemput selalu di Kota Kinabalu dan Kuching, tetapi di luar ini tidak pernah jejak, jadi saya fikir umur pun dah meningkat saya cuba melihat dan kenal rakyat pelosok Sabah.
“Saya jumpa, salam rakyat hulur tangan tanpa mengira latar belakang kerana bagi saya semua sama, kita rakyat Malaysia.
“Saya dapat realisasikan di Sabah. Saya sudah memandu sendiri 759 kilometer, alhamdulillah pinggang saya masih kuat lagi.
“Saya tak nak mengadu jalan raya di sini. Harap dapat akhiri (keseluruhan) 985 kilometer di Sabah. Saya terharu dengan layanan mesra orang Sabah,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah turut berkongsi cerita lucu sepanjang kembara itu apabila ada rakyat yang memanggil Seri Paduka dengan nama ‘pakcik Agong’, dan ‘abang Agong’, malah memanggil Tunku Azizah sebagai ‘Datin Permaisuri’.
“Ada juga panggil saya Gong-Gong, ini semua hiburkan hati saya juga. Ada puji isteri saya (Tunku Azizah) cantik. Ini semua tidak dapat saya lupakan dan rakyat Sabah akan kekal berada dalam hati saya untuk selamanya,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka berdua kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Sumber: Harian Metro