Suspek Perangai Tidak Senonoh, Tayang Kemaluan Depan Wanita Telah Ditahan Polis

BUKIT MERTAJAM, 7 September- Polis daerah Seberang Perai Tengah berjaya menahan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya terhadap seorang wanita di parkir sebuah restoran di Pusat Pernigaan Alma.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San menerusi satu kenyataan media berkata, penahanan suspek dibuat ekoran polis menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

“Suspek berusia 50-an itu ditahan di Jalan Aston kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Isnin lalu media melaporkan polis memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian menunjukkan kemaluannya terhadap seorang wanita di kawasan terbabit.

Menurut ACP Tan, pihaknya mengesan satu video di media sosial berhubung insiden itu yang dimuat naik di twitter ‘MalaysiaVirall’ pada Ahad.

Video yang kemudiannya menjadi tular itu menunjukkan suspek datang dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dengan nombor pendaftaran palsu tiba-tiba menghampiri sebuah kereta dipandu wanita tempatan.

Lelaki tersebut kemudian membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluan ke arah wanita terbabit sebelum beredar.