Harimau Malaya masih ‘bernyawa’

KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tempatan menarik nafas lega dengan kekalahan Indonesia dan kemenangan diraih Thailand pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dua hari lepas.

Namun, sejauh mana keputusan tersebut mampu dimanfaatkan sepenuhnya skuad negara kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dalam menyempurnakan misi membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Malaysia yang kali terakhir layak automatik ke Piala Asia pada edisi 1980 di Kuwait, kini berada di kedudukan keempat, dibezakan empat mata daripada pendahulu, Thailand yang berkongsi tujuh mata bersama Vietnam manakala UAE di tempat ketiga dengan enam mata.

Pada aksi dua hari lepas, skuad Indonesia yang gagal meraih sebarang mata selepas tewas kepada Malaysia dan dua aksi seterusnya, mencatat kekalahan keempat berturut-turut selepas kecundang 1-3 di tangan juara Piala AFF 2018, Vietnam di laman sendiri.

Thailand pula mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengejutkan pasukan di ranking ke-66 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 di Stadium Thammasat dalam satu lagi aksi Kumpulan G di Bangkok.

Dua keputusan itu menyaksikan saingan merebut gelaran juara Kumpulan G dan misi muncul antara empat pasukan naib juara terbaik masih terbuka buat setiap pasukan untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan pusingan akhir Piala Asia 2023.

Skuad negara tiada alasan untuk gagal meraih enam mata penuh di hadapan penyokong sendiri ketika berdepan Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, November ini.

Pertembungan itu adalah antara tiga aksi di laman sendiri skuad negara dalam melengkapkan baki lima perlawanan kumpulan dan ia peluang terbaik buat Malaysia untuk terus kekal relevan dalam saingan Kumpulan G.

Prestasi kurang memuaskan barisan pemain negara ketika tewas 0-1 kepada Vietnam, Khamis lepas perlu diatasi segera memandangkan Malaysia bermain di bawah kemampuan sebenar, tidak seperti ketika menumpaskan Indonesia sebelum hampir mengejutkan UAE dalam dua aksi pertama, bulan lepas.

Legenda bola sepak tanah air, Datuk Hassan Sani menyifatkan kekalahan kepada skuad Naga Emas itu satu fenomena biasa, namun berlaku pada waktu yang tidak tepat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam mana-mana aksi penting pasukan negara.

“Dalam bola sepak ini ada masanya segala perancangan berjalan lancar dan kita bermain dengan baik tetapi ada waktunya semua tidak menjadi. Saya tengok perlawanan itu dan mendapati Vietnam juga tidak dapat bermain dengan baik seperti mana mereka selalu bermain.

“Perlawanan seperti itu pasukan mana yang kurang membuat kesilapan akan menang dan dalam aksi itu kesilapan kecil kita menjadi perbezaan di mana Vietnam bijak mengambil peluang dan menghukum,” katanya.

Bekas penyerang kebangsaan yang pernah menjadi watak penting ketika menewaskan gergasi Asia, Korea Selatan 2-1 untuk membawa Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow 1980 itu berharap jentera serangan negara akan lebih kreatif untuk menghasilkan serangan berkualiti.

“Kita ada penyerang (Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali sebagai Mat Yo) yang berpengalaman, dan di usia 33 tahun, Mat Yo masih mampu beraksi… sebenarnya agak sukar untuk seseorang pemain di usia seperti beliau beraksi di tahap ini tetapi kemampuan dan sumbangannya dalam pasukan tidak boleh dipertikaikan.

“Jurulatih ada masa untuk memikirkan mengenai pasukan dan saya percaya beliau (Cheng Hoe) tahu apa perlu dilakukan selepas ini,” katanya.

Malaysia akan menentang Thailand pada 14 November depan sebelum pertembungan dengan Indonesia (19 November) dan kedua-dua aksi bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Bernama