Dana Ekuiti Syariah dijangka catat pertumbuhan sehingga 15 peratus

KUALA LUMPUR – BIMB Investment Management Berhad menjangkakan Dana Ekuiti Syariah ESG Global mencatatkan pertumbuhan antara 10 peratus dan 15 peratus sepanjang tempoh 12 bulan akan datang kerana dana itu kini dibuka kepada penyertaan runcit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, dana itu disediakan untuk langganan oleh pelabur runcit dengan jumlah pelaburan awal sebanyak RM500.

“Pada tahun 2015, kami memutuskan untuk melancarkan strategi awal secepat mungkin. Pada masa itu, rangka kerja tersebut membolehkan kami melancarkan dana serta-merta melalui rangka kerja serah dan simpan yang disediakan bagi institusi dan pelabur bernilai tinggi bersih sahaja.

“Tetapi ia juga baik untuk pelaburan terutamanya bagi dana, anda perlu mempunyai rekod prestasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan kini kami mempunyai lebih daripada tiga tahun. Jadi kami akan memastikan prestasi itu telus untuk pasaran runcit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran semula Dana Ekuiti Syariah-ESG Global oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Pada November 2015, BIMB Investment Management melancarkan BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1 (BigDF1) bagi pelabur bernilai tinggi bersih dengan pelaburan awal sebanyak RM30,000.

“Kami juga telah memperkenalkan kelas aset baharu, yang dilindung nilai ringgit dan juga kelas saham dolar Singapura, selain kelas saham ringgit dan kelas saham dolar US,” kata Najmuddin.

BiGDF1 merupakan dana kecerdasan buatan pertama Malaysia.

Setakat 4 Oktober tahun ini, prestasi tiga tahun dana tersebut pada 25.46 peratus. – Bernama