Norhizam nafi digari, mengaku dirinya pencinta kucing

KUALA LUMPUR – Pernah tular di laman sosial gara-gara bertikam lidah dengan penduduk dan pengayuh beca di Melaka sebelum ini, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee sekali lagi mencuri perhatian netizen.

Petang semalam, sebuah video pendek berdurasi 38 saat yang memaparkan kekecohan antara Norhizam dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mula tular di laman sosial.

Pada masa sama, Norhizam itu juga dipercayai cuba digari pihak berkuasa gara-gara terlibat dalam kekecohan berkenaan apabila tidak dibenarkan masuk ke dalam IPK KL namun segera dinafikan beliau.

“Tangan saya tidak digari, pejabat saya tidak digeledah sebaliknya hanya memberi keterangan kepada polis di pejabat berhubung penularan video di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur petang tadi,” jelas Norhizam seperti mana yang dipetik menerusi laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu dilaporkan berkata, dia bersama kira-kira 20 ahli keluarga seorang ketua pegawai eksekutif kepada anak syarikat kerajaan negeri dan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) ke IPK KL pada 2 petang.
Menurutnya, mereka mahu melawat kedua-duanya yang ditahan pada 12 Oktober lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Penahanan kedua-dua individu yang juga ahli DAP itu dilakukan selepas disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Selepas perbincangan, kesemua mereka dibenarkan masuk, manakala saya sebagai exco diminta tunggu di bilik kawalan di tepi pagar dan longkang kerana dimaklumkan tiada ruang legar atau tempat menunggu di situ.

“Ketika itulah rakaman video itu dilakukan walaupun ia adalah kawasan larangan hingga saya bersama dua lagi wakil kerajaan negeri terpaksa tunggu di luar pintu masuk,” katanya.

Selain Norhizam, dua wakil kerajaan negeri yang turut bersamanya ketika itu adalah Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damien Yeo Shen Li.

Dalam pada itu, Norhizam juga menafikan laporan yang mengaitkan beliau dengan LTTE.

“Tak tahulah siapa yang sebarkan saya pegawai tertinggi kumpulan pengganas LTTE dan polis yang berada di sekitar Seri Negeri mengepung untuk tahan saya.

“Saya ke Kuala Lumpur bersama pegawai negeri, tapi dikaitkan dengan LTTE oleh musuh. Saya nak cakap, saya hanyalah pencinta kucing,” katanya.